Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
AURAT. Apa itu aurat? Rasanya semua dah sedia maklum kan aurat itu apa?
Tak perlu lah saya terangkan lagi kan? Tak mengapalah, biar saya terangkan lagi
sekali. Mungkin ada yang masih belum tahu. Mungkin.
Aurat diambil dari
perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah pula
aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau
dilindungi dari pandangan.
Islam telah menggariskan batasan aurat pada
lelaki dan wanita.Aurat asas pada lelaki adalah menutup antara pusat dan lutut.
Manakala aurat bagi wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua
telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi
(bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung
kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup.
Tutuplah Aurat Dengan Betul :) |
Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Taala,
“Dan janganlah mereka menampakkan
perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya”
[An Nur:31].
Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,
“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu
apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya
kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya” [HR Abu
Dawud]
Hari ini saya cuma nak mencoret tentang aurat wanita atau si gadis saja. Sebabnya, saya perasan ada wanita-wanita dan gadis-gadis di luar sana berfikiran yang mereka dah tutup aurat dengan sempurna (pakai tudung siap ada bunga sebesar penumbuk dipinkan kat tepi, cute lah korang *wink wink*), akan tetapi pada hakikatnya aurat mereka masih belum tertutup dengan sempurna. Kalau soal aurat lelaki tu, saya rasa perkara tu sememangnya teramat-amatlah mudah. Tapi saya masih tak faham dengan lelaki yang pakai seluar pendek atas lutut. Alahai..
Lelaki oh lelaki.. |
Puan Seri-Puan Seri, Datin-Datin, (bajet je, macamlah puan seri & datin semua tu ada masa nak baca entry ni, heheh) wanita-wanita, kakak-kakak, adik-adik, ukhti-ukhti dan gadis-gadis yang saya sayangi kerana Allah,
Allah suruh kita tutup aurat tu sebab dia sayang kita tau. Antara sebab Allah suruh kita tutup aurat adalah BAGI MEMELIHARA KEHORMATAN KITA DAN BAGI MENGELAKKAN BAHAYA FITNAH.
Sungguh jelas dan tingginya martabat wanita muslim dalam Islam. Selaras dengan jawapan di atas, berikut adalah dalil yang memperelokkan hujah tersebut.
Wahai Nabi, katakanlah kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:
“Hendaklah mereka berjilbab (bertudung dan berpakaian labuh) menutupi tubuh
mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu
mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(33:21)
Berdasarkan ayat di atas, ALLAH telah jelas menyatakan perihal mengapa wanita wajib berjilbab (bertudung dan berpakaian labuh yang menutupi tubuh mereka dengan sempurna).
Sahabatku, segala yang Allah perintahkan, itu pasti yang TERBAIK buat kita. Banyak hikmahnya. Berikut beberapa hikmah menutup aurat (bagi wanita) berdasarkan ayat di atas secara ringkas:
1. Sebagai lambang bahawa mereka adalah wanita yang beriman dan bertaqwa (Memuliakan Wanita). Wanita yang sentiasa beriman dan taat, pasti akan sentiasa mengikuti apa sahaja yang diperintahkan oleh ALLAH dan Rasul-NYA dan meninggalkan sebarang perkara yang dilarang di dalam agamanya (Islam). Berbeza dengan mereka yang tidak beriman (tanpa mengira lelaki mahupun wanita), mereka amat engkar dengan perintah ALLAH dan Rasulullah.
Pendek kata, ada sahaja alasannya untuk menolak ketetapan ALLAH. Maka, renungilah ayat berikut:
“Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan
sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang
mungkar dan melarang berbuat yang ma’ruf dan mereka menggenggamkan tangannya
(kikir). Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka.
Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik” (09:67)
2. Berupaya mengelakkan gangguan daripada golongan yang berhati jahat (Mengelak Fitnah). “kerana itu mereka tidak di ganggu”. Bagi point yang kedua ini, saya ingin membawakan satu perumpamaan. Andainya kita seorang lelaki dihidangkan dengan satu “show” yang menayangkan wanita dengan keadaan yang amat menghairahkan (seksi), sudah tentu nafsu syahwat si lelaki akan terangsang sekaligus mencetuskan satu niat yang jahat untuk “mendapatkan” wanita yang dilihatnya itu atau pun wanita lain yang seumpamanya bagi tujuan nafsunya.
Tapi, berbeza pula jika kita sebagai lelaki diperlihatkan dengan wanita-wanita solehah yang sentiasa menjaga adabnya sebagai seorang muslimah yang mana lengkap berjilbab. Pasti sejuk mata memandang lalu mampu mendetikkan rasa keinsafan (malu) dalam diri si lelaki. Begitulah hakikatnya peranan jilbab mampu mencegah hati-hati manusia yang berniat jahat. Dalam ayat yang lain, ALLAH menyatakan perihal yang sama tetapi memfokus kepada suara wanita,
“Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu
lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan (menghairahkan) orang yang ada
perasaan dalam hatinya (berhati jahat).” (33:32)
3. Membezakan sama-ada wanita itu muslim atau non-muslim (Ketinggian Islam). “supaya mereka lebih mudah untuk dikenal” Sebagai seorang wanita muslim, sewajibnya mereka menutup aurat dan bertudung. Yang dengan itu, sekaligus membezakan mereka dengan gaya orang yang bukan muslim. Dan berdasarkan Tafseer Ibn Katheer, jilbab membezakan di antara wanita hamba dengan wanita yang merdeka di mana orang yang merdeka wajib bertudung. Manakala dalam tafsiran yang lain, dinyatakan bahawa pemakaian tudung dan penutupan aurat melambangkan dia adalah wanita yang bertamadun kerana tahu menjaga kehormatannya.
4. Jilbab (menutup aurat) mampu menghalang pelbagai penyakit kulit (Hikmah dan Kelebihannya). Menurut kajian saintifik terkini membuktikan bahawa kulit wanita adalah lebih sensitif berbanding kulit lelaki. Maka oleh kerana itulah, kulit wanita memerlukan sistem penjagaan yang lebih rapi dan baik berbanding kulit lelaki. Dengan keadaan zaman sekarang ini yang mana, persekitaran kita begitu berbahaya dengan pelbagai jenis pencemaran yang melanda. Maka, apa alternatifnya yang terbaik untuk mengawal semua jenis pencemaran ini? Tentu sekali pakaian yang baik yang mana mampu menutupi semua bahagian badan kita yang sensitif.
Maka dengan itu, sekaligus menunjukkan hikmah wanita diwajibkan memakai jilbab (menutup aurat). Ianya sungguh relevan sekali dengan suasana masa kini yang begitu berbahaya kepada organ kulit kita, terutamanya wanita yang jauh sangat sensitif terhadap kesan pencemaran tersebut. Tanpa perlu berbelanja mahal untuk bahan-bahan kimia penjagaan kulit yang belum tentu terjamin kebaikannya dan mungkin ada kesan jangka panjangnya yang jauh lebih berbahaya, maka pakailah pakaian yang menutup aurat. Ianya lebih selamat dan dijamin oleh ALLAH sejak lama dahulu lagi. Dan ianya terbukti tiada kesan sampingan.
Wanita-wanita dan gadis-gadis yang saya sayangi kerana Allah SWT, Bila kita baca hikmah-hikmah menutup aurat yang saya sertakan tadi, kita boleh nampak kan macam mana Allah SWT tu sangat sayang pada kita kan? Kalau kita hayati betul-betul, kita mesti dapat rasakan kasih-sayang Allah itu :') Dah tahu kan kenapa Allah suruh kita menutup aurat? Jom lah berhijrah!
Jom Tutup Aurat! |
Ada yang berfikiran pakai tudung itu sudah cukup menutup aurat. Ya, pakai tudung memang salah satu cara menutup aurat kalau cukup syarat-syaratnya. Konsep menutup aurat tu pun sebenarnya meluas, bukan cuma setakat tudung tapi kena lihat juga baju kita, seluar kita, kain kita, cukup syarat tak?
PAKAIAN DALAM ISLAM
Menutup aurat tak semestinya kena pakai jubah atau baju kurung sahaja. Islam tidak menetapkan pakaian tertentu tetapi wanita islam perlu mengikuti garis panduan syarak seperti berikut:
i. Pakaian itu hendaklah menutup aurat.
ii. Pakaian itu hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan.
Usamah bin Zaid pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang kurang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Albi dan rasulullah s.a.w pula menghadiahkan kain tersebut kepada beliau (Usamah bin Zaid) , untuk dibuat pakaian tetapi Usamah memberikan kepada isterinya. Suatu hari rasulullah s.a.w bertanyakan Usamah : "Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?" Usamah menjawab :" Saya telah berikan kepada isteri saya". Lalu rasulullah s.a.w bersabda kepada Usamah :" Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak digalas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)".
iii. Pakaian itu diperbuat daripada kain yang agak tebal, tidak nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan. Selain daripada itu, pakaian wanita hendaklah dibuat dari kain yang tidak terlalu licin dan lembut hingga melekat di tubuh dan membayangkan kulit pemakainya. Pakaian yang dibuat daripada kain-kain tersebut boleh mempamerkan rupa bentuk anggota badan wanita yang boleh mengghairahkan lelaki yang memandangnya.
iv. Pakaian itu tidak berbentuk hiasan yang boleh menarik perhatian orang melihatnya.
v. Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki.
vii. Pakaian itu tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir atau musyrik.
Dengan memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan para lelaki terhadap wanita. Wanita yang menutup aurat dan berpegang teguh dengan ajaran islam akan mendapat keredhaan allah s.w.t dan lelaki akan memandang wanita dengan penuh rasa hormat dan memberi penghormatan yang tinggi bersesuaian dengan sifat wanita yang pemalu dan bersopan santun.
Daripada pemerhatian saya sepanjang hidup saya setakat ini, (cehh, padahal umur baru setahun jagung) saya boleh nampak makin ramai yang terbuka hati untuk berhijab, Alhamdulillah..
Tapi yang menyedihkan saya, ramai juga yang bagi alasan tak masuk akal untuk terus kekal dengan imej tidak berhijab. Sedihnya.. Kita sama-samalah doakan supaya mereka terbuka hati ya? Aamiin..
Saya rasa setakat ini saja perkongsian kita pada hari yang mulia ini, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Moga Allah redha..
Rujukan:
-Artikel iluvislam.com
-http://www.renjuna.com/2011/06/06/kenapa-wanita-muslim-perlu-menutup-aurat/
-laman web jais dan yg sewaktu dengannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan