Segala puji bagi Allah swt, kebelakangan ini, Allah menemukan saya dengan pemuda-pemudi yang berjiwa besar, berpotensi dan baik akhlaknya dalam urusan kerja mahupun sosial. Oleh itu, tidak salah rasanya untuk mengambil kesempatan ini berkongsi “Nasihat Cinta’ ini.
.
Kalau ditelitikan, tulisan saya ini lebih ditujukan kepada lelaki. Bukan apa, kerana logiknya,
‘Jika semua lelaki memilih wanita solehah untuk dijadikan isteri, wanita yang ingin berkeluarga tiada pilihan selain turut menjadikan dirinya solehah.’
.
Nasihat ini pertamanya kepada diri saya yang serba kekurangan, juga kepada sahabat-sahabat yang masih mencari ‘orang yang ditentukan Allah’, dan sahabat-sahabat yang sedang menjalani bahtera kehidupan rumahtangga.
*********
~ NASIHAT CINTA ~
Manusia adalah salah satu unsur makhluk Allah, fitrahnya manusia akan berkeluarga….bagaimana bentuk dan arah keluarga kita, tentulah berbeza dengan makhluk lain kerana kita dikurniakan akal untuk merancang dan melaksanakan…. Dengan itu berUSAHA agar tujuan kejadian kita sebagai khalifah di muka bumi ini tercapai dan keredhaan Allah kita perolehi.
.
.
Bukan mudah untuk melentur peribadi seseorang, kalau bukan datangnya dari kehendak hati sendiri…. Allah tahu, sebab itu untuk meletakkan cinta anda kepada wanita, Islam menyarankan;
‘Sebaik-baik pilihan dalam menikahi seorang wanita adalah kerana agamanya, kesalehannya, ketakwaannya dan taubatnya kepada Allah’…. walaupun kita boleh memilih kerana hartanya, keturunannya dan kecantikannya….
.
Kita yakin dengan janji Allah,
‘wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik pula, An-Nur: 26’. Begitu juga sebalikknya…. Nauzubillah..
.
Ayat ini merupakan motivasi yang mengajak kita sentiasa memperbaiki diri secara berkeluarga… kerana kalau kita mahu pasangan yang soleh dan musleh, kita perlu membina kebaikan dalam diri kita, dan kalau kita mahu anak-anak kita mempunyai pasangan yang begitu, maka kita perlu memimpin mereka ke arah itu.
.
‘Hak pertama untuk anak adalah dipilih baginya seorang ibu sebelum dia dilahirkan: yang cantik, mulia, taat beragama, terhormat, cerdas, berakhlak terpuji, teruji kecerdasannya dan kepatuhannya kepada suami.’
.
Oleh itu, usaha untuk menikahi wanita salehah pilihan Allah ini adalah ibadah selagi tidak melanggari batas hukum dan adab agama.
.
Antara usaha yang membantu tujuan tersebut ialah;
a) Bercita-cita, berdoa dan bertawakkal untuk mendapat pasangan hidup yang baik
b) Membaiki dan meningkatkan diri sendiri
c) Memilih cara dan mendekatkan diri dengan golongan yang sosialnya mengingatkan kita kepada Allah
d) Yakin dengan janji Allah, di luar sana telah ada calon yang terbaik ditentukan Allah. Jika mahukan yang terbaik, jalan caranya juga mestilah baik dan diredhai.
.
Diriwayatkan oleh Ibni ‘Adiy dan Ibnu Asakir dari Aisyah radhiyalahu ‘anha, bahawa Nabi Muhammad s.s w bersabda:
‘Pilihlah untuk sperma kalian, sebab kaum wanita akan melahirkan seperti saudara lelaki atau saudara perempuan mereka’
.
Memang iman tidak boleh diwarisi, tetapi pengaruh keimanan dan ketakwaan kita, pasangan kita dan suasana kekekeluargaan kedua-dua belah pihak adalah elemen penting yang menyokong pembentukan iman anak-anak kita.
.
Oleh, wahai pemuda yang dirahmati Allah,
‘Hak saudara sebagai bakal suami adalah mencari tahu sejauh mana wawasan bakal isterinya. Kerana wawasan ini akan membantu isteri untuk mengatur rumah tangga dan memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak saudara.”
.
Kepada suami, yang Allah telah tentukan untuknya seorang isteri, marilah kita berusaha untuk saling menjadi pasangan hidup dan ibu bapa yang yang baik secara berterusan sehingga kita disatukan semula dengan keagungan cinta di jannah Allah.
.
Awas dengan cinta yang kita pupuk dan puja sekarang ini kerana, kita hanya akan menemui cinta manusia yang sebenar apabila orang yang dicintai itu mencintai Allah dan meletakkan cinta kepada Allah atas segalanya.
Semoga rahmah dan redha Allah mengiringi hidup kita hingga ke akhir hayat.
Ameen
by Mazura Nor Zulkifli on Wednesday, August 17, 2011 at 4:13pm